Monday, September 19, 2016

IMAM QATADAH

Nama beliau banyak disebut dalam kitab-kitab Tafsir, khususnya tafsir bil-maksur (seperti Tafsir at-Tabari, Ibnu Kathir, al-Baghawi dan sebagainya). Beliau adalah seorang mufassir (ahli tafsir) dan hafiz (penghafal hadis).[1] Menurut Imam az-Zahabi; beliau merupakan penghafal hadis di zamannya dan menjadi ikutan bagi para mufassirin (ahli-ahli tafsir al-Quran) dan muhaddisin (ahli-ahli hadis).[2]

Nama penuh beliau ialah; Qatadah bin Di’amah as-Sadusi. Lahir pada tahun 60 Hijrah. Menimba ilmu dari Anas bin Malik RA (sahabat Nabi SAW), Abu at-Tufail RA (sahabat Nabi), Sa’id bin al-Musayyab, Abdullah bin Sarjis, Hasan al-Basri dan ramai lagi. Mengambil ilmu dari beliau pula; Ayyub as-Sikhtiyani, Ma’mar bin Rasyid, al-Auza’ie, Imam Abu Hanifah dan ramai lagi.[3]

Berkata Imam Ibnu Siriin; Qatadah adalah ahfazun-naas (orang paling kuat hafazannya di kalangan manusia).[4]

Abu ‘Awanah menceritakan; Aku telah menyaksikan Qatadah mengajar al-Quran di bulan Ramadhan. Matar al-Warraq berkata; Qatadah berterusan mengajar hingga saat kematiannya.[5]

Menurut Ma’mar; Qatadah menyukai hadis-hadis Rasulullah SAW tidak dibaca melainkan dengan berwudhuk.[6]

Menurut Salam bin Abi Muti’; Qatadah mengkhatam al-Quran setiap tujuh hari. Bila tiba Ramadhan, dia mengkhatamkannya setiap tiga hari dan bila tiba 10 terakhir Ramadhan, beliau mengkhatamkannya setiap malam.[7]

Imam Qatadah meninggal dunia pada tahun 118 hijrah.[8] Di antara kata-kata beliau ialah;

اجْتَنِبُوا الْمَعْصِيَةَ وَالْعُدْوَانَ، فَإِنَّ بِهِمَا أُهْلِكَ مَنْ أُهْلِكَ قَبْلَكُمْ مِنَ النَّاسِ
“Jauhilah maksiat dan melampaui batas, kerana dengan dua sebab tersebutlah Allah membinasakan orang-orang sebelum kamu”.[9]




[1] Al-A’lam, Khairuddin az-Zarkali.
[2] Siyar A’lam an-Nubalak, az-Zahabi, 2/3082 (no. 4587).
[3] Siyar A’lam an-Nubalak, 2/3082 (no. 4587). Tobaqat al-Huffaz, as-Suyuti, hlm. 47 (no. 104).
[4] Siyar A’lam an-Nubalak, az-Zahabi, 2/3082 (no. 4587).
[5] Siyar A’lam an-Nubalak, az-Zahabi, 2/3082 (no. 4587).
[6] Siyar A’lam an-Nubalak, az-Zahabi, 2/3082 (no. 4587).
[7] Siyar A’lam an-Nubalak, az-Zahabi, 2/3082 (no. 4587).
[8] Siyar A’lam an-Nubalak, az-Zahabi, 2/3082 (no. 4587).
[9] Lihat; Tafsir at-Tabari; surah Ali Imran, ayat 112.

No comments: