Thursday, July 17, 2008

SYEIKH DR. ‘ALI JUM’AH MUHAMMAD


Dilahirkan pada 3 Mac 1952 di Bani Suwaif (Mesir). Menuntut ilmu di al-Azhar; tahun 1985 mendapat ijazah M.A dari al-Azhar dalam bidang Usul Fiqh, diikuti ijazah Phd tiga tahun berikutnya (1988) dalam bidang yang sama. Selain dari menjadi pensyarah di Universiti al-Azhar, beliau juga menjadi panel penasihat Syari’ah bagi bank-bank di Mesir dan menganggotai Lujnah Fatwa al-Azhar dan Majlis ‘Ala Mesir (Jawatankuasa Tertinggi Hal-Ehwal Agama, Mesir). Sekarang beliau merupakan Mufti Negara Mesir. Himpunan fatwa beliau diberi nama “Al-Kalimu at-Tayyib” yang sekarang telah diterbitkan sebanyak dua jilid. Selain himpunan fatwa tersebut, banyak lagi hasil-hasil tulisan beliau yang telah diterbitkan, antaranya;
1. Qadhiyyah Tajdid Fi Usul al-Fiqh
2. Al-Hukm as-Syar’ie ‘Inda al-Usuliyyin
3. Al-Imam as-Syafi’ie Wa Madrasatuhu al-Fiqhiyyah
4. Aliyatul-Ijtihad
5. Ar-Ru’yah Wa Hujjiyyatuha al-Usuliyyah
6. Al-Imam al-Bukhari

SYEIKH SAYYID SABIQ


Merupakan pengarang kitab Fiqh as-Sunnah yang masyhur yang telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa di dunia. Seorang ulamak al-Azhar. Berasal dari Wilayah Manufiah (Mesir). Beliau sempat bertemu Imam as-Syahid Hasan al-Banna dan menjadi anggota Ikhwan al-Muslimin sejak di bangku sekolah lagi. Beliau belajar di al-Azhar dalam bidang Syari’ah dan menjadi pakar dalam bidang Fiqh Islam. Bukunya Fiqh Sunnah menjadi rujukan umat Islam di dunia sejak tahun ia ditulis () hingga ke hari ini. Pada tahun 1413 Hijrah, beliau dianugerahi Hadiah Kecemerlangan Raja Faisal (Arab Saudi) di atas sumbangannya dalam Ilmu Fiqh. Di akhir-akhir usianya beliau menerima tawaran untuk menjadi pensyarah di Universiti Ummul-Qura (Mekah) kerana ingin berada hampir dengan Baitullah. Syeikh Sayyid Sabiq meninggal pada hari Ahad, 23 Zil-Qaedah 1420 bersamaan 27 Januari 2000 dan dikebumikan di tempat kelahirannya.
Selain dari Fiqh Sunnah tadi, beliau juga menghasilkan banyak penulisan lain antaranya;
1. Masadir al-Quwwah Fi al-Islam
2. al-‘Aqaid al-Islamiyyah
3. Risalah Fi al-Hajj
4. Islamuna
5. Risalah Fi as-Shiyam
6. Taqalid Wa ‘Adaat Yajib An Tazul Fi al-Afrah Wa al-Munasabat.

Semoga Allah mengurniakan darjat yang tinggi untuk beliau di akhirat.

PROF. DR. MUHAMMAD BAKR ISMAIL

Seorang ulamak al-Azhar. Lahir tahun 1936. Berasal dari satu kawasan bernama al-Mahamid yang terletak Wilayah Aswan (Mesir). Tamat menghafal al-Quran ketika usia masih kecil. Melanjutkan pelajaran di al-Azhar hingga ke peringkat M.A dan Phd. Menjadi pensyarah di Universiti al-Azhar dan dikurniakan gelaran Profesor oleh al-Azhar. Walaupun bidang pengkhususannya adalah Tafsir al-Quran, namun ilmu yang luas memberi keupayaan kepada beliau untuk menghasilkan buku-buku dalam pelbagai bidang agama merangkumi Fiqh, Hadis, Sejarah Islam, Bahasa Arab, Balaghah, Qawaid Fiqhiyyah dan sebagainya. Antara tulisan beliau ialah;
1. Al-Fiqh Al-Wadhih (2 jilid. Telah diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia)
2. Baina as-Sail Wa al-Faqih (himpunan fatwa beliau)
3. Wasaya ar-Rasul (Buku yang menghimpunkan wasiat-wasiat Nabi s.a.w.. Telah diterjemah ke dalam bahasa Malaysia; tiga jilid)
4. Dirasat Fi ‘Ulumil-Quran
5. Qawa’id al-Fiqhiyyah Baina al-Asalah Wa at-Taujih
6. Al-Bayan Fi Ahkam al-Quran
Kitab beliau yang pertama dan kedua di atas sentiasa menjadi rujukan saya dalam menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dalam blog saya.
Syeikh Muhammad Bakr meninggal dunia pada 11 Januari 2006. Semoga Allah merahmati beliau dan mengurniakan darjat yang tinggi di dalam syurga.

SYEIKH 'ATIYAH SAQAR


Seorang ulamak al-Azhar. Lahir pada tahun 1914 (22 Nov.) di Kampung Bahanbay (بهنباي) yang terletak dalam Wilayah Zaqaziq (Mesir). Menghafal al-Quran ketika usia 9 tahun. Beliau banyak terlibat memberi fatwa di Televesyen, Radio serta akhbar-akhbar utama di Mesir. Beliau adalah anggota Majma’ al-Buhus al-Islamiyyah dan pernah menjawat jawatan Ketua Lujnah Fatwa al-Azhar semasa hayatnya. Telah menghasilkan lebih dari 30 buah buku, antaranya himpunan fatwanya; Min Ahsanil-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam”. Beliau meninggal pada 9 Dis 2006 dan dikebumikan di kampong kelahirannya.