Showing posts with label TAFSIR. Show all posts
Showing posts with label TAFSIR. Show all posts

Monday, September 19, 2016

IMAM QATADAH

Nama beliau banyak disebut dalam kitab-kitab Tafsir, khususnya tafsir bil-maksur (seperti Tafsir at-Tabari, Ibnu Kathir, al-Baghawi dan sebagainya). Beliau adalah seorang mufassir (ahli tafsir) dan hafiz (penghafal hadis).[1] Menurut Imam az-Zahabi; beliau merupakan penghafal hadis di zamannya dan menjadi ikutan bagi para mufassirin (ahli-ahli tafsir al-Quran) dan muhaddisin (ahli-ahli hadis).[2]

Nama penuh beliau ialah; Qatadah bin Di’amah as-Sadusi. Lahir pada tahun 60 Hijrah. Menimba ilmu dari Anas bin Malik RA (sahabat Nabi SAW), Abu at-Tufail RA (sahabat Nabi), Sa’id bin al-Musayyab, Abdullah bin Sarjis, Hasan al-Basri dan ramai lagi. Mengambil ilmu dari beliau pula; Ayyub as-Sikhtiyani, Ma’mar bin Rasyid, al-Auza’ie, Imam Abu Hanifah dan ramai lagi.[3]

Berkata Imam Ibnu Siriin; Qatadah adalah ahfazun-naas (orang paling kuat hafazannya di kalangan manusia).[4]

Abu ‘Awanah menceritakan; Aku telah menyaksikan Qatadah mengajar al-Quran di bulan Ramadhan. Matar al-Warraq berkata; Qatadah berterusan mengajar hingga saat kematiannya.[5]

Menurut Ma’mar; Qatadah menyukai hadis-hadis Rasulullah SAW tidak dibaca melainkan dengan berwudhuk.[6]

Menurut Salam bin Abi Muti’; Qatadah mengkhatam al-Quran setiap tujuh hari. Bila tiba Ramadhan, dia mengkhatamkannya setiap tiga hari dan bila tiba 10 terakhir Ramadhan, beliau mengkhatamkannya setiap malam.[7]

Imam Qatadah meninggal dunia pada tahun 118 hijrah.[8] Di antara kata-kata beliau ialah;

اجْتَنِبُوا الْمَعْصِيَةَ وَالْعُدْوَانَ، فَإِنَّ بِهِمَا أُهْلِكَ مَنْ أُهْلِكَ قَبْلَكُمْ مِنَ النَّاسِ
“Jauhilah maksiat dan melampaui batas, kerana dengan dua sebab tersebutlah Allah membinasakan orang-orang sebelum kamu”.[9]




[1] Al-A’lam, Khairuddin az-Zarkali.
[2] Siyar A’lam an-Nubalak, az-Zahabi, 2/3082 (no. 4587).
[3] Siyar A’lam an-Nubalak, 2/3082 (no. 4587). Tobaqat al-Huffaz, as-Suyuti, hlm. 47 (no. 104).
[4] Siyar A’lam an-Nubalak, az-Zahabi, 2/3082 (no. 4587).
[5] Siyar A’lam an-Nubalak, az-Zahabi, 2/3082 (no. 4587).
[6] Siyar A’lam an-Nubalak, az-Zahabi, 2/3082 (no. 4587).
[7] Siyar A’lam an-Nubalak, az-Zahabi, 2/3082 (no. 4587).
[8] Siyar A’lam an-Nubalak, az-Zahabi, 2/3082 (no. 4587).
[9] Lihat; Tafsir at-Tabari; surah Ali Imran, ayat 112.

Friday, July 18, 2008

SYEIKH DR. WAHBAH AZ-ZUHAILI

Seorang ulamak dari Syiria. Dilahirkan di satu daerah di Damsyiq pada tahun 1932. Pengajian menengahnya di Syria, kemudian ke peringkat Universiti di al-Azhar (Mesir). Memperolehi Ijazah ‘Aliyah (B.A) di al-Azhar pada tahun 1956 dalam bidang Syari’ah Islam. Kemudian menyambung pengajian ke peringkat M.A (tahun 1959) dan Phd (tahun 1963) di Universiti Kaherah (Cairo University). Sejak selesai Phd (tahun 1963) beliau menjadi pensyarah di Universiti Damsyiq dan pada tahun 1975 dianugerahkan gelaran Profesor. Beliau merupakan pakar dalam Ilmu Fiqh, Usul Fiqh dan Fiqh al-Muqaran (Fiqh Perbandingan). Telah menghasilkan banyak penulisan dalam pelbagai bidang ilmu Islam. Karya beliau yang termasyhur ialah al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu yang merangkumi semua bab Fiqh meliputi 9 jilid besar.Karya-karya beliau yang lain ialah;
1. Tafsir al-Munir
2. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami
3. al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh
4. Qissah Quraniyyah
5. at-Tafsir al-Wajiz

Beliau meninggal dunia pada tahun 2015 (tanggal 8 ogos), bersamaan 24 syawal 1436H. Semoga Allah menempatkan roh di kalangan hamba-hamba pilihanNya.