Thursday, July 24, 2008

ASY-SYAHID SAYYID QUTB

Sayyid Qutb adalah nama yang tidak asing di kalangan umat Islam. Beliau tidak hanya dikenali sebagai tokoh gerakan Islam (Ikhwan Muslimun) tetapi juga sebagai cendekiawan dan penulis Islam yang hebat. Cukup membuktikan kehebatannya itu apabila sesiapa membaca tafsirnya Fi Zilalil Quran (di bawah naungan al-Quran). Selain itu, Sayyid Qutb juga menulis beberapa kitab yang lain yang mendapat sambutan hebat kaum muslimin sejak hayatnya hingga ke hari ini, antaranya Ma’alim Fi at-Thariq (Petunjuk Sepanjang Jalan), Nahwa Mujtama’ Islami (Ke Arah Masyarakat Islam), Hazaddin (Inilah Islam) dan sebagainya.
Sayyid Qutb di lahirkan tahun 1906 di sebuah kampoug di Selatan Mesir. Sejak kecil beliau telah diasuh dengan semangat cintakan agama oleh kedua ibu-bapanya. Beliau dihantar untuk mempelajari agama dan menghafal al-Quran. Didikan agama ketika kecil ini amat memberi bekas kepada As-Syahid hingga ke zaman dewasanya. Walaupun pengajian-pengajian yang dilalunya di peringkat dewasa tidak takhasus di bidang agama, tetapi penghayatan agamanya cukup tinggi. Jika tidak sudah pastinya beliau tidak akan mampu menulis kitab-kitab yang begitu hebat terutamanya Fi Zilalil Quran. Dalam hal ini pentarbiahan ikhwan juga banyak memberi sumbangan selain kesan didikan semasa kecil itu.

Sayyid Qutb mula berkecimpung dengan jamaah Ikhwan pada tahun 40an. Sejak awal pengllibatannya, beliau menjadi pendokong yang amat aktif. Beliau tidak rela hanya sekadar menjadi pemerhati atau penyokong sahaja. Kerana itu dengan segala kebolehan dan kepakaran yang ada padanya –iaitu dalam bidang penulisan dan kesusasteraan– beliau berusaha bersungguh untuk menyedarkan kaum muslimin supaya bersama-sama Ikhwan Muslimin untuk berjihad dan berjuang mengembalikan kedaulatan Islam di muka bumi ini. Pada tahun 1950, beliau mula menulis Fi Zilalil Quran, kitab tafsir yang amat disanjung itu. Pada tahun yang sama juga beliau diamanahkan untuk menjadi pemimpin redaksi majalah rasmi Ihkwan iaitu “Ikhwanul Muslimin”,


Kegigihan Sayyid Qutb menimbulkan ancaman kepada Kerajaan Mesir ketika itu yang menganut fahaman Sosialisme, menyebabkan beliau ditangkap pada tahun 1954 dan dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun. Di dalam penjara, beliau diseksa dengan amat kejam hingga menimbulkan radang paru-paru yang amat teruk. Kerana kesihatan yang amat buruk, beliau dibebaskan pada tahun 1964 iaitu setelah 10 tahun dalam penjara. Pemerintah Mesir berharap dengan kesihatan yang buruk itu, Said Qutb tidak akan bergerak aktif dengan Ikhwan selepas dikeluarkan dari penjara. Apatahlagi umurnya ketika itu telah melebihi 60 tahun. Namun sangkaan mereka meleset. Said Qutb bergerak lebih aktif selepas dibebaskan.

Tidak sampai setahun dibebaskan, Said Qutb ditangkap semula iaitu pada tahun 1965. Pada kali ini, tidak lagi hukuman penjara yang mengikuti beliau tetapi hukuman gantung. Said Qutb telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah Tentera Mesir bersama dua lagi rakannya iaitu Muhammad Hawwasy dan Abdul Fattah Ismail. Tatkala mendengar hukuman ke atasnya dibaca, tidak ada tanda gelisah, takut mahupun rasa bersalah di wajahnya. Dengan tenang beliau berkata; “Al-Hamdulillah” kerana apa yang beliau idam-idamkan sekian lama telah dikabulkan Allah iaitulah mati sebagai seorang Syahid.

2 comments:

Izzan Fahat said...

Allahuakbar...malunya ana pd tuhan.ntah apalah sumbangan ana pd Islam jk hndk dibndngkn dgn pejuang2 Islam

Bee Muslimah said...

subahanAllah!!