Thursday, July 24, 2008

SYEIKH SA'ID HAWWA

Syeikh Sa’id Hawwa tidak asing lagi bagi para pencinta gerakan Islam. Beliau merupakan ulamak dan tokoh dalam gerakan Ikhwan Muslimin. Nama penuh beliau ialah Sa’id bin Muhammad Daib Hawwa. Dilahirkan di kota Hamat, Syria pada tahun 1935. Penglibatan beliau dengan Ikhwan bermula sejak tahun 1952 iaitu ketika ia masih di Tahun Satu Sekolah Menengah. Pada tahun 1963 beliau tamat belajar di Universiti Syria. Di antara guru beliau ialah Syeikh Muhammad al-Hamid, Syeikh Muhammad al-Hasyimi, Syeikh Dr. Mustafa as-Siba’ie, Dr. Mustafa az-Zarqa dan ramai lagi.

Pada tahun 1973, beliau telah dipenjara selama lima tahun oleh pemerintah Syria (iaitu hingga tahun 1978) dan semasa dalam tempoh penjara itu beliau menulis tafsirnya yang terkenal iaitu Al-Asas fi at-Tafsir sebanyak 11 jilid. Syeikh Sa’id Hawa telah menghasilkan banyak karya penulisan yang menjadi rujukan kaum muslimin khususnya aktivis-aktivis Harakah Islamiyyah. Antara karya beliau ialah;
1. Allah Jalla Jalaluhu
2. Ar-Rasul
3. Al-Islam
4. Al-Asas Fi As-Sunnah (as-Seerah, al-‘Aqaid dan al-‘Ibadat)
5. Tarbiyatuna ar-Ruhiyah
6. Jundullah Saqafatan Wa Akhlaqan
7. Fi Afaqi at-Ta’alim
8. Fusul Fi al-Imrati Wa al-Amir
9. Hazihi Tajribati Hazihi Syahadati
10. Al-Mustakhlas Fi Tazkiyati al-Anfus

Antara sifat peribadi Syeikh S’aid Hawa yang menyebabkan beliau disegani kawan-rakan serta ulamak-ulamak sezaman dengannya ialah kezuhudan dan kewarakannya. Ustaz Zuhair asy-Syawisy dalam tulisannya tentang Sa’id Hawwa dalam harian al-Liwa’ yang diterbitkan di Jordan telah menceritakan; “….Saya pernah mengunjunginya di al-Ahsa’ ketika ia menjadi pengajar di al-Ma’had al-‘Ilmi. Saya tidak menemukan perabot di rumahnya kecuali sesuatu yang dapat memenuhi keperluan seorang yang hidup sederhana. Juga tidak saya temukan pakaian yang layak dipakai oleh ulama’ dan pengajar di negeri yang panas itu. Baju jubah yang dipakainya dari buatan Hamat yang kasar. Saya terus mendesaknya hingga ia mahu memakai beberapa pakaian putih dan ‘aba’ah (baju luaran) yang layak bagi orang seperti dirinya, tetapi ia mensyaratkan agar tidak terlalu longgar. Sedangkan makanannya, tidak lebih baik dari pakaian dan perabot rumahnya. Termasuk dalam kategori ini adalah sikapnya yang ‘mudah’ kepada orang-orang yang menerbitkan buku-bukunya baik yang telah mendapatkan izinnya atau tidak. Buku-bukunya telah dicetak berulang-ulang -dengan cara halal dan haram-, tetapi saya tidak pernah mendengar ia mempersoalkan hal tersebut. Ini termasuk sebahagian dari zuhudnya. Sesungguhnya akhlaq dan toleransi Sa’id Hawwa ini merupakan kebanggan dan teladan bagi orang lain. Inilah kesaksian yang dapat saya sampaikan.” (al-Liwa’, edisi 15/3/1989) Pada tahun 1987 M beliau diserang penyakit lumpuh di sebahagian badannya disamping penyakit-penyakit lainnya hingga terpaksa mengasingkan diri dari orang ramai dan kemudiannya dimasukkan ke hospital. Pada hari Kamis tanggal 9 Mac 1989, Syeikh Sa’id Hawwa kembali ke rahmatullah di Hospital Islam Amman, Jordan. Semoga Allah menempatkan beliau di tempat yang tinggi di dalam syurgaNya bersama para Nabi, para Siddiqin, Syuhadak dan Solihin.

ASY-SYAHID SAYYID QUTB

Sayyid Qutb adalah nama yang tidak asing di kalangan umat Islam. Beliau tidak hanya dikenali sebagai tokoh gerakan Islam (Ikhwan Muslimun) tetapi juga sebagai cendekiawan dan penulis Islam yang hebat. Cukup membuktikan kehebatannya itu apabila sesiapa membaca tafsirnya Fi Zilalil Quran (di bawah naungan al-Quran). Selain itu, Sayyid Qutb juga menulis beberapa kitab yang lain yang mendapat sambutan hebat kaum muslimin sejak hayatnya hingga ke hari ini, antaranya Ma’alim Fi at-Thariq (Petunjuk Sepanjang Jalan), Nahwa Mujtama’ Islami (Ke Arah Masyarakat Islam), Hazaddin (Inilah Islam) dan sebagainya.
Sayyid Qutb di lahirkan tahun 1906 di sebuah kampoug di Selatan Mesir. Sejak kecil beliau telah diasuh dengan semangat cintakan agama oleh kedua ibu-bapanya. Beliau dihantar untuk mempelajari agama dan menghafal al-Quran. Didikan agama ketika kecil ini amat memberi bekas kepada As-Syahid hingga ke zaman dewasanya. Walaupun pengajian-pengajian yang dilalunya di peringkat dewasa tidak takhasus di bidang agama, tetapi penghayatan agamanya cukup tinggi. Jika tidak sudah pastinya beliau tidak akan mampu menulis kitab-kitab yang begitu hebat terutamanya Fi Zilalil Quran. Dalam hal ini pentarbiahan ikhwan juga banyak memberi sumbangan selain kesan didikan semasa kecil itu.

Sayyid Qutb mula berkecimpung dengan jamaah Ikhwan pada tahun 40an. Sejak awal pengllibatannya, beliau menjadi pendokong yang amat aktif. Beliau tidak rela hanya sekadar menjadi pemerhati atau penyokong sahaja. Kerana itu dengan segala kebolehan dan kepakaran yang ada padanya –iaitu dalam bidang penulisan dan kesusasteraan– beliau berusaha bersungguh untuk menyedarkan kaum muslimin supaya bersama-sama Ikhwan Muslimin untuk berjihad dan berjuang mengembalikan kedaulatan Islam di muka bumi ini. Pada tahun 1950, beliau mula menulis Fi Zilalil Quran, kitab tafsir yang amat disanjung itu. Pada tahun yang sama juga beliau diamanahkan untuk menjadi pemimpin redaksi majalah rasmi Ihkwan iaitu “Ikhwanul Muslimin”,


Kegigihan Sayyid Qutb menimbulkan ancaman kepada Kerajaan Mesir ketika itu yang menganut fahaman Sosialisme, menyebabkan beliau ditangkap pada tahun 1954 dan dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun. Di dalam penjara, beliau diseksa dengan amat kejam hingga menimbulkan radang paru-paru yang amat teruk. Kerana kesihatan yang amat buruk, beliau dibebaskan pada tahun 1964 iaitu setelah 10 tahun dalam penjara. Pemerintah Mesir berharap dengan kesihatan yang buruk itu, Said Qutb tidak akan bergerak aktif dengan Ikhwan selepas dikeluarkan dari penjara. Apatahlagi umurnya ketika itu telah melebihi 60 tahun. Namun sangkaan mereka meleset. Said Qutb bergerak lebih aktif selepas dibebaskan.

Tidak sampai setahun dibebaskan, Said Qutb ditangkap semula iaitu pada tahun 1965. Pada kali ini, tidak lagi hukuman penjara yang mengikuti beliau tetapi hukuman gantung. Said Qutb telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah Tentera Mesir bersama dua lagi rakannya iaitu Muhammad Hawwasy dan Abdul Fattah Ismail. Tatkala mendengar hukuman ke atasnya dibaca, tidak ada tanda gelisah, takut mahupun rasa bersalah di wajahnya. Dengan tenang beliau berkata; “Al-Hamdulillah” kerana apa yang beliau idam-idamkan sekian lama telah dikabulkan Allah iaitulah mati sebagai seorang Syahid.

Monday, July 21, 2008

SYEIKH MUHAMMAD AL-GHAZALI

Seorang ulama’ yang masyhur di Mesir dan seluruh dunia Islam hari ini. Dididik oleh al-Azhar sejak dari peringkat pengajian rendah hinggalah ke pengajian tinggi dan akhirnya muncul sebagai seorang ulama’ kelahiran al-Azhar yang berwibawa. Kecintaannya pada al-Azhar amat mendalam. Kerana itu beliau sentiasa melazimi pakaian para ulama’ al-Azhar; berjubah dan berserban. Pernah suatu ketika beliau melawat ke satu negeri di Eropah. Semasa dalam keretapi, ada seorang menegur beliau; ‘Tidak bolehkah engkau menanggalkan serban dan jubah engkau dan engkau memakai kot sepertimana orang di sini biasa memakainya”. Beliau menjawab; “Apa salahnya aku memakai pakaian yang biasa dipakai oleh ulama’-ulama’ al-Azhar. Jika seorang anggota tentera, anggota polis dan sebagainya berbangga dengan uniform tentera dan polisnya, maka aku juga berbangga dengan uniform al-Azharku (yakni berserban dan berjubah)”. Lahir tahun 1917. Semasa mudanya sempat berjumpa dengan Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna dan menjadi anak murid serta pengikut setia beliau hingga saat kematiannya kerana ditembak. Dalam satu tulisannya, Syeikh Muhammad al-Ghazali pernah menulis; “Imam Hasan al-Banna adalah mursyidku yang pertama”. Pernah dalam satu wawancara oleh Radio Mesir secara lansung, beliau ditanya oleh juru-hebah; “Siapakah tokoh yang membentuk keperibadiannya?”. Syeikh Muhammad al-Ghazali menjawab; “Hasan al-Banna”. Terus ketika itu juga siaran secara lansung itu dihentikan gara-gara kerana nama Imam Hasan al-Banna disebut. Kerajaan Sekular Mesir amat memusuhi Imam Hasan al-Banna dan Ikhwan Muslimun. Kerana itu, nama beliau dilarang sama sekali disebut dalam radio mahupun televisyen. Syeikh Muhammad al-Ghazali menjadikan penulisan sebagai medan dakwah utama beliau di samping lisan. Beliau telah menulis lebih 50 buah buku di samping artikel-artikel yang disiarkan dalam majalah-majalah dan akhbar. Buku-buku tulisan beliau mendapat sambutan yang luar biasa umat Islam di seluruh terutama di kalangan Arab. Kesemua buku beliau menjadi best seller di Tanah Arab dan Dunia Islam serta telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia termasuk bahasa Melayu. Antara buku tulisan beliau ialah;
1. Kaifa Nafham al-Islam
2. Al-Janib al-'Atifi Fil-Islam
3. 'Aqidatul-Muslim
4. As-Sunnah an-Nabawiyyah Baina Ahlil-Fiqhi Wa Ahlil-Hadith
5. Laisa Minal-Islam
6. Al-Islam Wa al-Istibdad as-Siyasi
7. Al-Islam Wa al-Audha' al-Iqtisadiyyah
8. Dustur Wihdah as-Saqafah Baina al-Muslimin
9. al-Haq al-Murr
10. Akhalaqul-Muslim

Syeikh Muhammad al-Ghazali meninggal pada tahun 1996 di Arab Saudi dan dikebumikan di perkuburan al-Baqi', tempat bersemadinya sahabat-sahabat Nabi r.a..

Friday, July 18, 2008

SYEIKH DR. WAHBAH AZ-ZUHAILI

Seorang ulamak dari Syiria. Dilahirkan di satu daerah di Damsyiq pada tahun 1932. Pengajian menengahnya di Syria, kemudian ke peringkat Universiti di al-Azhar (Mesir). Memperolehi Ijazah ‘Aliyah (B.A) di al-Azhar pada tahun 1956 dalam bidang Syari’ah Islam. Kemudian menyambung pengajian ke peringkat M.A (tahun 1959) dan Phd (tahun 1963) di Universiti Kaherah (Cairo University). Sejak selesai Phd (tahun 1963) beliau menjadi pensyarah di Universiti Damsyiq dan pada tahun 1975 dianugerahkan gelaran Profesor. Beliau merupakan pakar dalam Ilmu Fiqh, Usul Fiqh dan Fiqh al-Muqaran (Fiqh Perbandingan). Telah menghasilkan banyak penulisan dalam pelbagai bidang ilmu Islam. Karya beliau yang termasyhur ialah al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu yang merangkumi semua bab Fiqh meliputi 9 jilid besar.Karya-karya beliau yang lain ialah;
1. Tafsir al-Munir
2. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami
3. al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh
4. Qissah Quraniyyah
5. at-Tafsir al-Wajiz

Thursday, July 17, 2008

SYEIKH DR. ‘ALI JUM’AH MUHAMMAD


Dilahirkan pada 3 Mac 1952 di Bani Suwaif (Mesir). Menuntut ilmu di al-Azhar; tahun 1985 mendapat ijazah M.A dari al-Azhar dalam bidang Usul Fiqh, diikuti ijazah Phd tiga tahun berikutnya (1988) dalam bidang yang sama. Selain dari menjadi pensyarah di Universiti al-Azhar, beliau juga menjadi panel penasihat Syari’ah bagi bank-bank di Mesir dan menganggotai Lujnah Fatwa al-Azhar dan Majlis ‘Ala Mesir (Jawatankuasa Tertinggi Hal-Ehwal Agama, Mesir). Sekarang beliau merupakan Mufti Negara Mesir. Himpunan fatwa beliau diberi nama “Al-Kalimu at-Tayyib” yang sekarang telah diterbitkan sebanyak dua jilid. Selain himpunan fatwa tersebut, banyak lagi hasil-hasil tulisan beliau yang telah diterbitkan, antaranya;
1. Qadhiyyah Tajdid Fi Usul al-Fiqh
2. Al-Hukm as-Syar’ie ‘Inda al-Usuliyyin
3. Al-Imam as-Syafi’ie Wa Madrasatuhu al-Fiqhiyyah
4. Aliyatul-Ijtihad
5. Ar-Ru’yah Wa Hujjiyyatuha al-Usuliyyah
6. Al-Imam al-Bukhari

SYEIKH SAYYID SABIQ


Merupakan pengarang kitab Fiqh as-Sunnah yang masyhur yang telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa di dunia. Seorang ulamak al-Azhar. Berasal dari Wilayah Manufiah (Mesir). Beliau sempat bertemu Imam as-Syahid Hasan al-Banna dan menjadi anggota Ikhwan al-Muslimin sejak di bangku sekolah lagi. Beliau belajar di al-Azhar dalam bidang Syari’ah dan menjadi pakar dalam bidang Fiqh Islam. Bukunya Fiqh Sunnah menjadi rujukan umat Islam di dunia sejak tahun ia ditulis () hingga ke hari ini. Pada tahun 1413 Hijrah, beliau dianugerahi Hadiah Kecemerlangan Raja Faisal (Arab Saudi) di atas sumbangannya dalam Ilmu Fiqh. Di akhir-akhir usianya beliau menerima tawaran untuk menjadi pensyarah di Universiti Ummul-Qura (Mekah) kerana ingin berada hampir dengan Baitullah. Syeikh Sayyid Sabiq meninggal pada hari Ahad, 23 Zil-Qaedah 1420 bersamaan 27 Januari 2000 dan dikebumikan di tempat kelahirannya.
Selain dari Fiqh Sunnah tadi, beliau juga menghasilkan banyak penulisan lain antaranya;
1. Masadir al-Quwwah Fi al-Islam
2. al-‘Aqaid al-Islamiyyah
3. Risalah Fi al-Hajj
4. Islamuna
5. Risalah Fi as-Shiyam
6. Taqalid Wa ‘Adaat Yajib An Tazul Fi al-Afrah Wa al-Munasabat.

Semoga Allah mengurniakan darjat yang tinggi untuk beliau di akhirat.

PROF. DR. MUHAMMAD BAKR ISMAIL

Seorang ulamak al-Azhar. Lahir tahun 1936. Berasal dari satu kawasan bernama al-Mahamid yang terletak Wilayah Aswan (Mesir). Tamat menghafal al-Quran ketika usia masih kecil. Melanjutkan pelajaran di al-Azhar hingga ke peringkat M.A dan Phd. Menjadi pensyarah di Universiti al-Azhar dan dikurniakan gelaran Profesor oleh al-Azhar. Walaupun bidang pengkhususannya adalah Tafsir al-Quran, namun ilmu yang luas memberi keupayaan kepada beliau untuk menghasilkan buku-buku dalam pelbagai bidang agama merangkumi Fiqh, Hadis, Sejarah Islam, Bahasa Arab, Balaghah, Qawaid Fiqhiyyah dan sebagainya. Antara tulisan beliau ialah;
1. Al-Fiqh Al-Wadhih (2 jilid. Telah diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia)
2. Baina as-Sail Wa al-Faqih (himpunan fatwa beliau)
3. Wasaya ar-Rasul (Buku yang menghimpunkan wasiat-wasiat Nabi s.a.w.. Telah diterjemah ke dalam bahasa Malaysia; tiga jilid)
4. Dirasat Fi ‘Ulumil-Quran
5. Qawa’id al-Fiqhiyyah Baina al-Asalah Wa at-Taujih
6. Al-Bayan Fi Ahkam al-Quran
Kitab beliau yang pertama dan kedua di atas sentiasa menjadi rujukan saya dalam menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dalam blog saya.
Syeikh Muhammad Bakr meninggal dunia pada 11 Januari 2006. Semoga Allah merahmati beliau dan mengurniakan darjat yang tinggi di dalam syurga.