Thursday, June 17, 2010

IMAM AN-NAWAWI

Imam an-Nawawi (atau lebih dikenali dengan Imam Nawawi oleh masyakat Malaysia) merupakan pengarang/penulis beberapa kitab yang masyhur yang dipelajari oleh umat Islam di seluruh dunia iaitu;
1. Himpunan Hadis 40 (yang masyhur dengan nama al-Arba’in an-Nawawiyah)
2. Riyadhus-Salihin (kitab himpunan hadis-hadis yang menyentuh tentang Tazkiyah an-Nafs (penyucian jiwa. Terdapat lebih 2 ribu hadis dalam kitab ini)
3. Matan Minhaj at-Thalibin (iaitu kitab matan Fiqh dalam mazhab Syafi’ie yang banyak disyarahkan oleh ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie yang muncul selepasnya).

Nama asal beliau ialah Abu Zakaria Yahya bin Syaraf. Gelaran an-Nawawi yang menjadi panggilan yang masyhur bagi beliau adalah bersempena tempat kelahirannya iaitu perkampungan Nawa yang terletak di Daerah Hauran, selatan Dimasyq (Negara Syiria sekarang).

Dilahirkan pada tahun 631 hijrah dan meninggal dalam usia yang muda (45 tahun) pada tahun 676 hijrah. Walaupun mati dalam usia yang begitu muda, namun beliau telah meninggalkan khazanah penulisan yang cukup banyak (ada yang berjilid-jilid) yang mengkagumkan semua orang yang membaca biodata beliau. Antara tulisan beliau (selain di atas);

1. Syarah Soheh Muslim; Dalam kitab ini beliau mensyarahkan keseluruhan hadis yang ada dalam Soheh Imam Muslim yang berjumlah lebih 7000 hadis. Kitab ini terdiri dari 9 jilid yang merangkumi 18 juzuk di dalamnya.

2. Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab; al-Muhazzab ialah kitab Fiqh dalam mazhab Imam as-Syafi’ie yang ditulis oleh Imam Abi Ishaq Ibrahim bin as-Syairazi (lahir tahun 393 Hijrah, meninggal tahun 476 Hijrah). Imam an-Nawawi mensyarahkan kitab ini dengan begitu menyeluruh meliputi semua bidang ilmu merangkumi huraian bahasa, takhrij dan tashih hadis, masalah-masalah Fiqh, perbandingan mazhab dan melakukan tarjih. Namun sayangnya beliau tidak sempat menghabiskan kitab beliau ini kerana dijemput oleh Allah terlebih dahulu. Beliau hanya sempat menulis hingga pertengahan bab ar-Riba (iaitu jilid ke 10). Seorang penganalisis kitab-kitab ulamak silam Syeikh Dr. Abdul-Karim bin Abdullah al-Khudhair pernah berkata; “Jika Imam an-Nawawi sempat menghabiskan kitab beliau ini nescaya umat Islam yang hidup hari ini tidak perlu lagi kepada kitab Fiqh yang lain”. Selepas kewafatan beliau, kitab tersebut disambung pula oleh seorang ulamak mazhab Syafi’ie terkenal iaitu Imam Taqiyyuddin Ali bin ‘Abdul-Kafi as-Subki (lahir tahun 683 hijrah, meninggal tahun 756 Hijrah). Ia menyambungnya dalam tiga bab iaitu tambahan sekitar tiga jilid. Setelah Imam as-Subki tidak ada lagi orang yang menyambungnya hinggalah pada zaman mutakhir ini ia disambung dan disudahkan oleh seorang ulamak al-Azhar Mesir Syeikh Muhammad Najib al-Muti’ie () bermula dari bab al-Murabahah hingga akhir kitab).

3. Raudhah at-Thalibin; Kitab ini terdiri dari 8 jilid. Merupakan antara kitab Fiqh yang muktamad dalam mazhab Syafi’ie. Asalnya ialah dari kitab al-‘Aziz yang ditulis oleh Imam ar-Rafi’ie sebagai syarah kepada kitab al-Wajib karya Imam al-Ghazali, kemudian diringkaskan oleh Imam an-Nawawi dan diberi nama Raudhah at-Thalibin.

4. Al-Azkar; Iaitu kitab yang menghimpunkan zikir-zikir, doa-doa dan ibadah-ibadah yang warid dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-.

5. Al-Idhah Fi al-Manasik; Iaitu kitab yang mengupas tentang hukum-hakam ibadah haji dan umrah.

6. At-Tibyan Fi Adabi Hamalatil-Quran; Kitab yang mengupas tentang adab-adab pembaca dan penghafaz al-Quran.

7. Banyak lagi kitab-kitab beliau yang tidak dapat kita sebutkan dalam tulisan ringkas ini.

Kemampuan menghasilkan penulisan yang begitu banyak dan hebat sudah tentu menunjukkan kepada kita bahawa Imam an-Nawawi adalah seorang manusia yang tidak pernah mensia-siakan waktunya walaupun seketika. Memang itulah realitinya apabila kita membaca cerita tentang beliau dari orang-orang yang pernah hidup sezaman dengannya terutama dari anak-anak murid beliau. Masa-masa beliau hanya dipenuhi dengan aktiviti ilmu dan ibadah. Semasa tempoh pengajian, setiap hari beliau menekuni 12 matapelajaran dari guru-gurunya merangkumi ilmu Fiqh, Usul, Hadis, Bahasa Arab, Nahu, Tarajum (biodata ulamak) dan sebagainya. Menurut cerita salah seorang anak murid beliau –iaitu Ibnu al-‘Attar-; “Syeikh kami (yakni Imam an-Nawawi) pernah menceritakan bahawa beliau tidak pernah sedikitpun mensia-siakan waktu sama ada di waktu siang mahupun malam. Semuanya disibukkan dengan tugas menuntut ilmu. Malah ketika di jalanan pun beliau akan menggunakan masanya untuk mengulangkaji ilmu”.

Setelah tamat belajar beliau menumpukan pula kepada kegiatan penulisan dan pengajaran. Penulisan beliau bukan hanya bersifat menceduk daripada tulisan-tulisan dan hasil-hasil ilmiah ulamak-ulamak sebelumnya, akan tetapi beliau juga menganalisis, menyemak dan membuat pembetulan, pengesahan dan pentarjihan. Kerana itu, kitab-kitab beliau menjadi rujukan para ulamak dan umat Islam selepas beliau untuk memperolehi pandangan dan pendapat yang soheh atau yang rajih dalam sesuatu masalah terutamanya dalam mazhab as-Syafi’ie.

Dalam bidang pengajaran, beliau mencapai kemuncaknya apabila diserahkan mandat untuk memimpin pengajian di Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah iaitu sebuah pusat pengajian hadis terkenal di Syam yang hanya dipimpin oleh ulamak-ulamak hadis termasyur pada sesuatu zaman yang menguasai ilmu hadis dirayah dan riwayah. Imam an-Nawawi mula memimpinnya pada tahun 665 hijrah dan berterusan hingga tahun kematiannya. Sebelum beliau pengajian di Dar al-Hadis itu dipimpin oleh Imam Abi Syamah. Di antara tokoh yang pernah memimpinnya ialah; Imam Ibnu Solah, Imam al-Mizzi dan Imam Ibnu Kathir.

Dalam ibadah pula, beliau terkenal sebagai seorang yang kuat beribadah. Ini diakui oleh semua orang yang menulis tentangnya. Berkata Ibnu al-‘Attar (salah seorang murid beliau); “Imam an-Nawawi merupakan seorang yang banyak membaca al-Quran dan banyak berzikir kepada Allah”. Dalam kitab al-Bidayah wa an-Nihayah, Imam Ibnu Kathir menulis; “Imam an-Nawawi berpuasa setiap hari”. Imam Al-Yafi’ie menceritakan; “Imam an-Nawawi banyak berjaga malam untuk ibadah, membaca dan menulis”. Berkata Imam az-Zahabi; “Imam an-Nawawi sentiasa sibuk dengan ilmu dan penulisan yang dilakukannya hanya untuk mencari redha Allah di samping ibadah, puasa, tahajjud, zikir, wirid-wirid, menjaga sekelian anggota, mencela diri dan bersabar dengan kehidupan yang susah (tidak selesa)”.

Rujukan;

1. Siyar A’lami an-Nubala’, Imam az-Zahabi (ditahqiq oleh Syeikh Hassan ‘Abdul-Mannan).
2. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Imam an-Nawawi, as-Subki dan Syeikh Najib al-Muti’ie.
3. Thabaqaat as-Syafi’iyyah, Abu Bakar bin Ahmad bin Muhammad bin Ibnu Qadhi Syuhbah (meninggal 851 hijrah).
4. Imam an-Nawawi, karya; Syeikh Ahmad Farid.

1 comment:

Unknown said...

Boleh x saya share sejarah ulama mesir ke dalam page fb saya iaitu Kelab Pecinta Sejarah Islam. Nama saya ikmal dan kini belajar di al azhar..